Perasmian Projek Borneo Pulau Bersejarah





Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 27 April. – Dalam usaha membarigakan hasil pengkajian dan penyelidikan bahan-bahan persejarahan Negara Brunei Darussalam (NBD); sejarah Kesultanan Brunei; dan sejarah Borneo, Projek Borneo Pulau Bersejarah merupakan salah satu usaha dalam pendokumentasian hasil pengkajian dan penyelidikan bahan-bahan persejarahan NBD, Kesultanan Brunei dan sejarah Borneo.

 

Dengan membawakan tema 'Sejarah Memperkasa Hubungan Seborneo', projek yang julung kalinya diadakan ini diselenggarakan oleh Pusat Sejarah Brunei (PSB) melalui Bahagian Pusat Pengkajian Borneo (penBORNEO) ini akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga 28 April 2024.

 

Hasil kajian dan penyelidikan Projek Borneo Pulau Bersejarah adalah penting untuk dibarigakan kepada masyarakat umumnya di persekitaran Pulau Borneo khususnya rakyat dan penduduk di rantau ini (NBD, Sabah, Sarawak dan Kalimantan).

 

Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Perasmian Projek Borneo Pulau Bersejarah yang berlangsung di Bangunan Pusat Pengkajian Borneo, di sini ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad yang juga seterusnya merasmikan projek berkenaan.

 

Pengetua PSB, Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong dalam ucapannya menjelaskan, Projek Borneo Pulau Bersejarah adalah sebuah projek akademik sejarah yang antara lainnya dihasratkan untuk menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-40.

 

Di samping itu, tambahnya, ia juga mendukung matlamat PSB sebagai Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei dan seterusnya untuk mengukuhkan lagi ikatan silaturahim dan memupuk sikap hormat-menghormati antara tiga negara, iaitu NBD, Indonesia (Kalimantan) dan Malaysia (Sarawak dan Sabah).

 

Menurutnya lagi, projek itu juga memperlihatkan usaha berterusan PSB dalam menyebarluas dan memasyarakatkan sejarah negara khususnya mengenai Borneo melalui pelbagai kegiatan seperti Ceramah Sejarah Borneo Siri Ke-12; perasmian Galeri Pameran Citra Borneo dan pelancaran buku terbitan PSB yang terbaharu berjudul, Dari Jendela Borneo : Himpunan Kertas Kerja (Siri I) penBORNEO.

 

Pada majlis itu, tetamu kehormat juga melancarkan Galeri Pameran Citra Borneo dan Buku Dari Jendela Borneo : Himpunan Kertas Kerja (Siri I) penBORNEO.

 

Galeri Pameran Citra Borneo merupakan wadah untuk mendekatkan dan mendorong para pengkaji dan peminat sejarah untuk terus melaksanakan penyelidikan yang lebih meluas, mendalam dan terperinci mengenai sejarah Borneo yang dengannya boleh memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara.

 

Pameran tersebut antara lain memaparkan hasil pengkajian dan penyelidikan mengenai sejarah asal usul Borneo; sejarah awal hubungan Sarawak, Sabah dan Kalimantan dengan NBD; koleksi sumber mengenai Borneo dan korpus sejarah Borneo.

 

Manakala penerbitan buku, Dari Jendela Borneo : Himpunan Kertas Kerja (Siri I) penBORNEO adalah untuk menambah, memperkaya dan mempelbagai lagi koleksi bahan bacaan serta rujukan mengenai sejarah NBD dan Borneo. Acara sampingan juga turut diadakan Sesi Ceramah Sejarah Borneo Siri Ke-12 yang mengandungi empat sesi.

 

Ceramah Sejarah Borneo Siri Ke-12 merupakan sebuah program akademik yang menyumbang kepada perkongsian ilmu pengetahuan, pengalaman, pandangan dan pemikiran mengenai sejarah Borneo atau bidang ilmu lain yang berkaitan.

 

Dengan adanya kajian-kajian dan penyelidikan yang dilaksanakan diharap akan dapat memberikan pengetahuan tentang sejarah dan latar belakang kewujudan kepulauan Borneo di samping akan dapat membantu mengukuhkan silaturahim dan rasa saling hormat-menghormati antara ketiga-tiga buah negara iaitu NBD, Malaysia (Sabah dan Sarawak) dan Indonesia (Kalimantan).

 

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir bagi sama-sama ikut serta dalam menjayakan aktiviti-aktiviti yang disediakan sepanjang program tersebut dijalankan.

 

Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke NBD, Tuan Yang Terutama Dr. Achmad Ubaedillah; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke NBD, Tuan Yang Terutama Raja Dato' Reza bin Raja Zaib Shah; Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS); Timbalan Setiausaha Tetap KKBS; Pengarah-pengarah, Pengetua IBTE Pusat, pegawai-pegawai kanan, tenaga akademik institusi pengajian tinggi, pegawai-pegawai, ahli panel penceramah, para jemputan khas serta para mahasiswa-mahasiswi.


Close